Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembentangan RUU 355 memperjelaskan kekeliruan yang selama ini menggambarkan seolah-olah rang undang-undang itu merupakan pintu belakang kepada hudud.
“Pembentangan itu jelas bukan sebagaimana yang didakwa untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi ia hanyalah menaik taraf mahkamah syariah. Pembentangan itu sedikit sebanyak meredakan kekeliruan masyarakat,” katanya selepas menghadiri program anjuran Pas, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata: “Pas berasa lega dengan pembentangan RUU 355 setelah sekian lama tertangguh.”
Berhubung kerjasama dengan parti pembangkang lain seperti DAP, beliau berkata, meskipun sudah tidak ada kesepakatan, namun pemuafakatan sebagai parti pembangkang masih wujud khususnya dalam pembahagian kerusi dalam pilihan raya ke-14 akan datang.
“Apa yang kita harapkan kerusi yang ditandingi Pas tidak akan diganggu oleh parti pembangkang lain. Sebenarnya dalam konteks pembangkang, tidak ada dibentuk satu muafakat berdaftar, seperti ada satu logo, satu lambang seperti Barisan Nasional yang penting adalah muafakat,” katanya.
– BERNAMA
