Syarikat dan pengusaha stesen minyak yang
gagal mematuhi penetapan harga petrol serta diesel secara mingguan yang
akan diumumkan setiap Rabu bermula esok, bakal berdepan tindakan tegas
mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk
Seri Hamzah Zainudin berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah akta
itu ialah denda maksimum RM500,000 bagi syarikat sementara dan denda
maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu.
“Pengumuman mengenai penetapan harga petrol dan diesel akan dibuat di
TV1 pukul 8 malam esok dan akta itu akan pastikan semua syarikat dan
pengusaha stesen minyak mesti ikuti arahan diberikan pada mereka,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan
majlis penutupan Seminar Kepimpinan Pegawai Ehwal Koperasi 2017 di sini
hari, ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia
(SKM) dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa)
Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Katanya melalui beberapa siri perbincangan bersama syarikat dan
pengusaha stesen minyak sebelum ini, mereka telah menyatakan persetujuan
untuk menambah baik mekanisme berkenaan.
Pada minggu lepas, Hamzah mengumumkan penetapan harga petrol dan
diesel secara mingguan diumumkan setiap hari Rabu dan harga tersebut
berkuat kuasa selepas 12 malam.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan penetapan harga bulanan secara
pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga
Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983.
Penetapan harga secara pengapungan terkawal bulanan itu bermula Disember 2014.
